BINTULU: Petra Jaya untuk Kuching, Jepak Jaya untuk Bintulu - itu impian Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Haji Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg yang dizahirkan ketika berucap merasmikan pelancaran pembangunan kawasan Jepak di seberang Bintulu pada Selasa.
Kawasan Jepak akan dimajukan sebagai pusat pentadbiran, perumahan rakyat dan komersil baru seperti mana Petra Jaya di Kuching dimajukan sehingga menjadi kawasan yang pesat membangun, kata beliau.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata jika dipersetujui masyarakat tempatan kawasan Jepak baharu ini harus dinamakan sebagai Jepak Jaya seperti Petra Jaya bagi kawasan seberang Sungai Sarawak di Kuching.
Pembangunan di kedua-dua belah tebing Batang Kemena harus seimbang dan Jambatan Kuala Kemena telah dibangunkan untuk memudahkan usaha membangunkan kawasan Jepak, ujar beliau.
“Bukan air liur,” kata beliau kerana Jambatan Kuala Kemena sudah menampakkan kemajuan fizikal dalam pembinaannya.
Pembinaan Kompleks Pejabat Residen Bintulu yang baharu yang akan menjadi teras pembangunan kawasan Jepak juga sudah bermula, tambah beliau.
Beliau berkata skim perumahan rakyat yang bakal dibangunkan di Jepak sejumlah 7,000 lot akan dilaksanakan secara berfasa sebagai usaha untuk menyediakan rumah mampu milik untuk penduduk di Bintulu.
Seperti skim-skim penempatan di Kemuyang, Sibu dan Sungai Bedaun di Santubong, Kuching Kerajaan akan menyediakan prasarana yang secukupnya termasuk jalan raya, bekalan letrik dan bekalan air.
Rumah-rumah akan dijual pada sekitar RM150,000 seunit dan dengan nilai tanah berkeluasan 12 point dan nilai semua kemudahan yang disediakan seunit rumah tersebut mampu mencapai nilai RM300,000 keseluruhan, jelas beliau.
Beliau menekankan bahawa program pembangunan seperti ini memerlukan perancangan yang teliti dan sebuah kerajaan yang mampu memberi fokus kepada pembangunan untuk memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata rakyat mengambil iktibar daripada keberadaan tiga perdana menteri dalam tempoh tiga tahun brlisu berkata usaha untuk membangunkan Sarawak akan terbantut jika kerajaan goyah,
“Oleh itu saya berkehendakkan mandat yang kuat untuk meneruskan usaha membangunkan negeri Sarawak,” ujar beliau.
Turut berucap Menteri di Jabatan Ketua Menteri, (Integriti dan Ombudsman) Datuk Haji Talip Zulpilip.
Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, Datuk John Sikie Tayai.
Jika dipersetujui Jepak baharu ini harus dinamakan Jepak Jaya seperti seberang Kuching yang dinamakan Petra Jaya, kata beliau.
Sumber dari : Sarawakku